# Bacaan Surah Yasin Penuh 83 Ayat: Arab, Rumi dan Terjemahan سورة يس

> Baca Surah Yasin penuh 83 ayat dalam tulisan Arab dan rumi beserta terjemahan Melayu, dengar bacaan sembilan qari dan fahami kandungannya.

Sumber: https://yasinsurah.com/ms/  
Kemas kini terakhir: 2026-11-13T01:02:16+03:00

Surah ke-36 · Juzuk 22-23

83 ayat · Makkiyyah · urutan penurunan ke-41

Di halaman ini anda boleh membaca kesemua 83 ayat Surah Yasin dalam tulisan Arab dan rumi beserta terjemahan bahasa Melayu, dan mendengar bacaan surah ini dari awal hingga akhir. Terjemahan yang digunakan ialah terjemahan Sheikh Abdullah Basmeih. Pilih qari dan tekan main: ayat yang sedang dibaca akan diserlahkan, jadi anda boleh mengikuti teks Arab atau rumi walaupun masih belajar membaca.

Yasin ialah surah ke-36 dalam al-Quran dan diturunkan di Makkah. Dalam kira-kira lima setengah muka surat, surah ini berulang kali kembali kepada satu persoalan, iaitu sama ada orang yang mati akan dibangkitkan semula, lalu menjawabnya melalui sebuah kisah, tanda-tanda di alam sekeliling kita dan gambaran Hari Kiamat. Di bawah ayat-ayatnya anda akan menemui ringkasan kandungan surah ini, sebab ia digelar jantung al-Quran dan cara umat Islam membacanya, termasuk bacaan Yasin malam Jumaat dan dalam majlis tahlil.

## Surah Yasin dalam tulisan Arab dan rumi, dengan terjemahan Melayu

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ  
Bismillaahir rahmaanir rahiim  
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

**1.** يسٓ ﴿١﴾  
Rumi: Yaa siin.  
Terjemahan: Yaa, Siin.

**2.** وَٱلۡقُرۡءَانِ ٱلۡحَكِيمِ ﴿٢﴾  
Rumi: Wal qur'aanil hakiim.  
Terjemahan: Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,

**3.** إِنَّكَ لَمِنَ ٱلۡمُرۡسَلِينَ ﴿٣﴾  
Rumi: Innaka laminal mursaliin.  
Terjemahan: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus,

**4.** عَلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ ﴿٤﴾  
Rumi: 'Alaa shiraathim mustaqiim.  
Terjemahan: Yang tetap di atas jalan yang lurus (ugama Islam).

**5.** تَنزِيلَ ٱلۡعَزِيزِ ٱلرَّحِيمِ ﴿٥﴾  
Rumi: Tanziilal 'aziizir rahiim.  
Terjemahan: Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,

**6.** لِتُنذِرَ قَوۡمٗا مَّآ أُنذِرَ ءَابَآؤُهُمۡ فَهُمۡ غَٰفِلُونَ ﴿٦﴾  
Rumi: Litundzira qaumam maa undzira aabaa'uhum fahum ghaafiluun.  
Terjemahan: Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.

**7.** لَقَدۡ حَقَّ ٱلۡقَوۡلُ عَلَىٰٓ أَكۡثَرِهِمۡ فَهُمۡ لَا يُؤۡمِنُونَ ﴿٧﴾  
Rumi: Laqad haqqal qaulu 'alaa aktsarihim fahum laa yu'minuun.  
Terjemahan: Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.

**8.** إِنَّا جَعَلۡنَا فِيٓ أَعۡنَٰقِهِمۡ أَغۡلَٰلٗا فَهِيَ إِلَى ٱلۡأَذۡقَانِ فَهُم مُّقۡمَحُونَ ﴿٨﴾  
Rumi: Innaa ja'alnaa fii a'naaqihim aghlaalan fahiya ilal adzqaani fahum muqmahuun.  
Terjemahan: Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah mereka terdongak.

**9.** وَجَعَلۡنَا مِنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيهِمۡ سَدّٗا وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ سَدّٗا فَأَغۡشَيۡنَٰهُمۡ فَهُمۡ لَا يُبۡصِرُونَ ﴿٩﴾  
Rumi: Wa ja'alnaa mim baini aidiihim saddaw wa min khalfihim saddan fa aghsyainaahum fahum laa yubshiruun.  
Terjemahan: Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).

**10.** وَسَوَآءٌ عَلَيۡهِمۡ ءَأَنذَرۡتَهُمۡ أَمۡ لَمۡ تُنذِرۡهُمۡ لَا يُؤۡمِنُونَ ﴿١٠﴾  
Rumi: Wa sawaa'un 'alaihim a'andzartahum am lam tundzirhum laa yu'minuun.  
Terjemahan: Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya - mereka tidak akan beriman.

**11.** إِنَّمَا تُنذِرُ مَنِ ٱتَّبَعَ ٱلذِّكۡرَ وَخَشِيَ ٱلرَّحۡمَٰنَ بِٱلۡغَيۡبِۖ فَبَشِّرۡهُ بِمَغۡفِرَةٖ وَأَجۡرٖ كَرِيمٍ ﴿١١﴾  
Rumi: Innamaa tundziru manit taba'adz dzikra wa khasyiyar rahmaana bil ghaibi fabasysyirhu bimaghfiratiw wa ajrin kariim.  
Terjemahan: Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.

**12.** إِنَّا نَحۡنُ نُحۡيِ ٱلۡمَوۡتَىٰ وَنَكۡتُبُ مَا قَدَّمُواْ وَءَاثَٰرَهُمۡۚ وَكُلَّ شَيۡءٍ أَحۡصَيۡنَٰهُ فِيٓ إِمَامٖ مُّبِينٖ ﴿١٢﴾  
Rumi: Innaa nahnu nuhyil mautaa wa naktubu maa qaddamuu wa aatsaarahum wa kulla syai'in ahshainaahu fii imaamim mubiin.  
Terjemahan: Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.

**13.** وَٱضۡرِبۡ لَهُم مَّثَلًا أَصۡحَٰبَ ٱلۡقَرۡيَةِ إِذۡ جَآءَهَا ٱلۡمُرۡسَلُونَ ﴿١٣﴾  
Rumi: Wadhrib lahum matsalan ashhaabal qaryati idz jaa'ahal mursaluun.  
Terjemahan: Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),

**14.** إِذۡ أَرۡسَلۡنَآ إِلَيۡهِمُ ٱثۡنَيۡنِ فَكَذَّبُوهُمَا فَعَزَّزۡنَا بِثَالِثٖ فَقَالُوٓاْ إِنَّآ إِلَيۡكُم مُّرۡسَلُونَ ﴿١٤﴾  
Rumi: Idz arsalnaa ilaihimuts naini fakadzdzabuuhumaa fa'azzaznaa bitsaalitsin faqaaluu innaa ilaikum mursaluun.  
Terjemahan: Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: ‘Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu’.

**15.** قَالُواْ مَآ أَنتُمۡ إِلَّا بَشَرٞ مِّثۡلُنَا وَمَآ أَنزَلَ ٱلرَّحۡمَٰنُ مِن شَيۡءٍ إِنۡ أَنتُمۡ إِلَّا تَكۡذِبُونَ ﴿١٥﴾  
Rumi: Qaaluu maa antum illaa basyarum mitslunaa wa maa anzalar rahmaanu min syai'in in antum illaa takdzibuun.  
Terjemahan: Penduduk bandar itu menjawab: “Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta”.

**16.** قَالُواْ رَبُّنَا يَعۡلَمُ إِنَّآ إِلَيۡكُمۡ لَمُرۡسَلُونَ ﴿١٦﴾  
Rumi: Qaaluu rabbunaa ya'lamu innaa ilaikum lamursaluun.  
Terjemahan: Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu,

**17.** وَمَا عَلَيۡنَآ إِلَّا ٱلۡبَلَٰغُ ٱلۡمُبِينُ ﴿١٧﴾  
Rumi: Wa maa 'alainaa illal balaaghul mubiin.  
Terjemahan: “Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata”.

**18.** قَالُوٓاْ إِنَّا تَطَيَّرۡنَا بِكُمۡۖ لَئِن لَّمۡ تَنتَهُواْ لَنَرۡجُمَنَّكُمۡ وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٞ ﴿١٨﴾  
Rumi: Qaaluu innaa tathayyarnaa bikum la'il lam tantahuu lanarjumannakum wa layamassannakum minnaa 'adzaabun aliim.  
Terjemahan: Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.

**19.** قَالُواْ طَٰٓئِرُكُم مَّعَكُمۡ أَئِن ذُكِّرۡتُمۚ بَلۡ أَنتُمۡ قَوۡمٞ مُّسۡرِفُونَ ﴿١٩﴾  
Rumi: Qaaluu thaa'irukum ma'akum a'in dzukkirtum bal antum qaumum musrifuun.  
Terjemahan: Rasul-rasul itu menjawab: “Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau”.

**20.** وَجَآءَ مِنۡ أَقۡصَا ٱلۡمَدِينَةِ رَجُلٞ يَسۡعَىٰ قَالَ يَٰقَوۡمِ ٱتَّبِعُواْ ٱلۡمُرۡسَلِينَ ﴿٢٠﴾  
Rumi: Wa jaa'a min aqshal madiinati rajuluy yas'aa qaala yaa qaumit tabi'ul mursaliin.  
Terjemahan: Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: “Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu -

**21.** ٱتَّبِعُواْ مَن لَّا يَسۡـَٔلُكُمۡ أَجۡرٗا وَهُم مُّهۡتَدُونَ ﴿٢١﴾  
Rumi: Ittabi'uu mal laa yas'alukum ajraw wa hum muhtaduun.  
Terjemahan: “Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk”.

**22.** وَمَالِيَ لَآ أَعۡبُدُ ٱلَّذِي فَطَرَنِي وَإِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ ﴿٢٢﴾  
Rumi: Wa maa liya laa a'budul ladzii fatharanii wa ilaihi turja'uun.  
Terjemahan: Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima ugama mereka? Maka jawabnya): “Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?

**23.** ءَأَتَّخِذُ مِن دُونِهِۦٓ ءَالِهَةً إِن يُرِدۡنِ ٱلرَّحۡمَٰنُ بِضُرّٖ لَّا تُغۡنِ عَنِّي شَفَٰعَتُهُمۡ شَيۡـٔٗا وَلَا يُنقِذُونِ ﴿٢٣﴾  
Rumi: A'attakhidzu min duunihii aalihatan iy yuridnir rahmaanu bidhurril laa tughni 'annii syafaa'atuhum syai'aw wa laa yunqidzuun.  
Terjemahan: “Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.

**24.** إِنِّيٓ إِذٗا لَّفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٍ ﴿٢٤﴾  
Rumi: Innii idzal lafii dhalaalim mubiin.  
Terjemahan: “Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.

**25.** إِنِّيٓ ءَامَنتُ بِرَبِّكُمۡ فَٱسۡمَعُونِ ﴿٢٥﴾  
Rumi: Innii aamantu birabbikum fasma'uun.  
Terjemahan: “Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)”,.

**26.** قِيلَ ٱدۡخُلِ ٱلۡجَنَّةَۖ قَالَ يَٰلَيۡتَ قَوۡمِي يَعۡلَمُونَ ﴿٢٦﴾  
Rumi: Qiilad khulil jannata qaala yaa laita qaumii ya'lamuun.  
Terjemahan: (Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam Syurga”. Ia berkata; “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui -

**27.** بِمَا غَفَرَ لِي رَبِّي وَجَعَلَنِي مِنَ ٱلۡمُكۡرَمِينَ ﴿٢٧﴾  
Rumi: Bimaa ghafara lii rabbii wa ja'alanii minal mukramiin.  
Terjemahan: “Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan”.

**28.** ۞ وَمَآ أَنزَلۡنَا عَلَىٰ قَوۡمِهِۦ مِنۢ بَعۡدِهِۦ مِن جُندٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَمَا كُنَّا مُنزِلِينَ ﴿٢٨﴾  
Rumi: Wa maa anzalnaa 'alaa qaumihii mim ba'dihii min jundim minas samaa'i wa maa kunnaa munziliin.  
Terjemahan: Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.

**29.** إِن كَانَتۡ إِلَّا صَيۡحَةٗ وَٰحِدَةٗ فَإِذَا هُمۡ خَٰمِدُونَ ﴿٢٩﴾  
Rumi: In kaanat illaa shaihataw waahidatan fa idzaa hum khaamiduun.  
Terjemahan: (Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.

**30.** يَٰحَسۡرَةً عَلَى ٱلۡعِبَادِۚ مَا يَأۡتِيهِم مِّن رَّسُولٍ إِلَّا كَانُواْ بِهِۦ يَسۡتَهۡزِءُونَ ﴿٣٠﴾  
Rumi: Yaa hasratan 'alal 'ibaadi maa ya'tiihim mir rasuulin illaa kaanuu bihii yastahzi'uun.  
Terjemahan: Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)! Tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.

**31.** أَلَمۡ يَرَوۡاْ كَمۡ أَهۡلَكۡنَا قَبۡلَهُم مِّنَ ٱلۡقُرُونِ أَنَّهُمۡ إِلَيۡهِمۡ لَا يَرۡجِعُونَ ﴿٣١﴾  
Rumi: Alam yarau kam ahlaknaa qablahum minal quruuni annahum ilaihim laa yarji'uun.  
Terjemahan: Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? Umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali kepada Kami, untuk menerima balasan).

**32.** وَإِن كُلّٞ لَّمَّا جَمِيعٞ لَّدَيۡنَا مُحۡضَرُونَ ﴿٣٢﴾  
Rumi: Wa in kullul lammaa jamii'ul ladainaa muhdharuun.  
Terjemahan: Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).

**33.** وَءَايَةٞ لَّهُمُ ٱلۡأَرۡضُ ٱلۡمَيۡتَةُ أَحۡيَيۡنَٰهَا وَأَخۡرَجۡنَا مِنۡهَا حَبّٗا فَمِنۡهُ يَأۡكُلُونَ ﴿٣٣﴾  
Rumi: Wa aayatul lahumul ardhul maitatu ahyainaahaa wa akhrajnaa minhaa habban faminhu ya'kuluun.  
Terjemahan: Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.

**34.** وَجَعَلۡنَا فِيهَا جَنَّٰتٖ مِّن نَّخِيلٖ وَأَعۡنَٰبٖ وَفَجَّرۡنَا فِيهَا مِنَ ٱلۡعُيُونِ ﴿٣٤﴾  
Rumi: Wa ja'alnaa fiihaa jannaatim min nakhiiliw wa a'naabiw wa fajjarnaa fiihaa minal 'uyuun.  
Terjemahan: Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan kami pancarkan padanya beberapa matair,

**35.** لِيَأۡكُلُواْ مِن ثَمَرِهِۦ وَمَا عَمِلَتۡهُ أَيۡدِيهِمۡۚ أَفَلَا يَشۡكُرُونَ ﴿٣٥﴾  
Rumi: Liya'kuluu min tsamarihii wa maa 'amilathu aidiihim afalaa yasykuruun.  
Terjemahan: Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?

**36.** سُبۡحَٰنَ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡأَزۡوَٰجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنۢبِتُ ٱلۡأَرۡضُ وَمِنۡ أَنفُسِهِمۡ وَمِمَّا لَا يَعۡلَمُونَ ﴿٣٦﴾  
Rumi: Subhaanal ladzii khalaqal azwaaja kullahaa mimmaa tumbitul ardhu wa min anfusihim wa mimmaa laa ya'lamuun.  
Terjemahan: Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.

**37.** وَءَايَةٞ لَّهُمُ ٱلَّيۡلُ نَسۡلَخُ مِنۡهُ ٱلنَّهَارَ فَإِذَا هُم مُّظۡلِمُونَ ﴿٣٧﴾  
Rumi: Wa aayatul lahumul lailu naslakhu minhun nahaara fa idzaa hum muzhlimuun.  
Terjemahan: Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;

**38.** وَٱلشَّمۡسُ تَجۡرِي لِمُسۡتَقَرّٖ لَّهَاۚ ذَٰلِكَ تَقۡدِيرُ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡعَلِيمِ ﴿٣٨﴾  
Rumi: Wasy syamsu tajrii limustaqarril lahaa dzaalika taqdiirul 'aziizil 'aliim.  
Terjemahan: Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;

**39.** وَٱلۡقَمَرَ قَدَّرۡنَٰهُ مَنَازِلَ حَتَّىٰ عَادَ كَٱلۡعُرۡجُونِ ٱلۡقَدِيمِ ﴿٣٩﴾  
Rumi: Wal qamara qaddarnaahu manaazila hattaa 'aada kal 'urjuunil qadiim.  
Terjemahan: Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya - (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.

**40.** لَا ٱلشَّمۡسُ يَنۢبَغِي لَهَآ أَن تُدۡرِكَ ٱلۡقَمَرَ وَلَا ٱلَّيۡلُ سَابِقُ ٱلنَّهَارِۚ وَكُلّٞ فِي فَلَكٖ يَسۡبَحُونَ ﴿٤٠﴾  
Rumi: Lasy syamsu yambaghii lahaa an tudrikal qamara wa lal lailu saabiqun nahaari wa kullun fii falakiy yasbahuun.  
Terjemahan: (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.

**41.** وَءَايَةٞ لَّهُمۡ أَنَّا حَمَلۡنَا ذُرِّيَّتَهُمۡ فِي ٱلۡفُلۡكِ ٱلۡمَشۡحُونِ ﴿٤١﴾  
Rumi: Wa aayatul lahum annaa hamalnaa dzurriyyatahum fil fulkil masyhuun.  
Terjemahan: Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat;

**42.** وَخَلَقۡنَا لَهُم مِّن مِّثۡلِهِۦ مَا يَرۡكَبُونَ ﴿٤٢﴾  
Rumi: Wa khalaqnaa lahum mim mitslihii maa yarkabuun.  
Terjemahan: Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya.

**43.** وَإِن نَّشَأۡ نُغۡرِقۡهُمۡ فَلَا صَرِيخَ لَهُمۡ وَلَا هُمۡ يُنقَذُونَ ﴿٤٣﴾  
Rumi: Wa in nasya' nughriqhum falaa shariikha lahum wa laa hum yunqadzuun.  
Terjemahan: Dan jika kami kehendaki, kami boleh tenggelamkan mereka; (kiranya Kami lakukan yang demikian) maka tidak ada yang dapat memberi pertolongan kepada mereka, dan mereka juga tidak dapat diselamatkan, -

**44.** إِلَّا رَحۡمَةٗ مِّنَّا وَمَتَٰعًا إِلَىٰ حِينٖ ﴿٤٤﴾  
Rumi: Illaa rahmatam minnaa wa mataa'an ilaa hiin.  
Terjemahan: Kecuali dengan kemurahan dari pihak Kami memberi rahmat dan kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa.

**45.** وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّقُواْ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيكُمۡ وَمَا خَلۡفَكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ ﴿٤٥﴾  
Rumi: Wa idzaa qiila lahumut taquu maa baina aidiikum wa maa khalfakum la'allakum turhamuun.  
Terjemahan: Dan apabila dikatakan kepada mereka: “berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di hadapan kamu (dari urusan-urusan hidup di dunia ini), dan apa yang ada di belakang kamu (dari huru-hara dan balasan akhirat), supaya kamu beroleh rahmat”, (mereka tidak mengindahkannya).

**46.** وَمَا تَأۡتِيهِم مِّنۡ ءَايَةٖ مِّنۡ ءَايَٰتِ رَبِّهِمۡ إِلَّا كَانُواْ عَنۡهَا مُعۡرِضِينَ ﴿٤٦﴾  
Rumi: Wa maa ta'tiihim min aayatim min aayaati rabbihim illaa kaanuu 'anhaa mu'ridhiin.  
Terjemahan: Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).

**47.** وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ أَنفِقُواْ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ قَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ لِلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنُطۡعِمُ مَن لَّوۡ يَشَآءُ ٱللَّهُ أَطۡعَمَهُۥٓ إِنۡ أَنتُمۡ إِلَّا فِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ ﴿٤٧﴾  
Rumi: Wa idzaa qiila lahum anfiquu mimmaa razaqakumullaahu qaalal ladziina kafaruu lil ladziina aamanuu anuth'imu mal lau yasyaa'ullaahu ath'amahuu in antum illaa fii dhalaalim mubiin.  
Terjemahan: Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Dermakanlah sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu”, berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek): “Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia akan memberinya makan? Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata”.

**48.** وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا ٱلۡوَعۡدُ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ﴿٤٨﴾  
Rumi: Wa yaquuluuna mataa haadzal wa'du in kuntum shaadiqiin.  
Terjemahan: Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): “Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu)!”,

**49.** مَا يَنظُرُونَ إِلَّا صَيۡحَةٗ وَٰحِدَةٗ تَأۡخُذُهُمۡ وَهُمۡ يَخِصِّمُونَ ﴿٤٩﴾  
Rumi: Maa yanzhuruuna illaa shaihataw waahidatan ta'khudzuhum wa hum yakhishshimuun.  
Terjemahan: Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang - (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing).

**50.** فَلَا يَسۡتَطِيعُونَ تَوۡصِيَةٗ وَلَآ إِلَىٰٓ أَهۡلِهِمۡ يَرۡجِعُونَ ﴿٥٠﴾  
Rumi: Falaa yastathii'uuna taushiyataw wa laa ilaa ahlihim yarji'uun.  
Terjemahan: Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya.

**51.** وَنُفِخَ فِي ٱلصُّورِ فَإِذَا هُم مِّنَ ٱلۡأَجۡدَاثِ إِلَىٰ رَبِّهِمۡ يَنسِلُونَ ﴿٥١﴾  
Rumi: Wa nufikha fish shuuri fa idzaa hum minal ajdaatsi ilaa rabbihim yansiluun.  
Terjemahan: Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.

**52.** قَالُواْ يَٰوَيۡلَنَا مَنۢ بَعَثَنَا مِن مَّرۡقَدِنَاۜۗ هَٰذَا مَا وَعَدَ ٱلرَّحۡمَٰنُ وَصَدَقَ ٱلۡمُرۡسَلُونَ ﴿٥٢﴾  
Rumi: Qaaluu yaa wailanaa mam ba'atsanaa mim marqadinaa, haadzaa maa wa'adar rahmaanu wa shadaqal mursaluun.  
Terjemahan: (Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,, (Lalu dikatakan kepada mereka): “Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!,

**53.** إِن كَانَتۡ إِلَّا صَيۡحَةٗ وَٰحِدَةٗ فَإِذَا هُمۡ جَمِيعٞ لَّدَيۡنَا مُحۡضَرُونَ ﴿٥٣﴾  
Rumi: In kaanat illaa shaihataw waahidatan fa idzaa hum jamii'ul ladainaa muhdharuun.  
Terjemahan: Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).

**54.** فَٱلۡيَوۡمَ لَا تُظۡلَمُ نَفۡسٞ شَيۡـٔٗا وَلَا تُجۡزَوۡنَ إِلَّا مَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ﴿٥٤﴾  
Rumi: Fal yauma laa tuzhlamu nafsun syai'aw wa laa tujzauna illaa maa kuntum ta'maluun.  
Terjemahan: Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan.

**55.** إِنَّ أَصۡحَٰبَ ٱلۡجَنَّةِ ٱلۡيَوۡمَ فِي شُغُلٖ فَٰكِهُونَ ﴿٥٥﴾  
Rumi: Inna ashhaabal jannatil yauma fii syughulin faakihuun.  
Terjemahan: Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;

**56.** هُمۡ وَأَزۡوَٰجُهُمۡ فِي ظِلَٰلٍ عَلَى ٱلۡأَرَآئِكِ مُتَّكِـُٔونَ ﴿٥٦﴾  
Rumi: Hum wa azwaajuhum fii zhilaalin 'alal araa'iki muttaki'uun.  
Terjemahan: Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;

**57.** لَهُمۡ فِيهَا فَٰكِهَةٞ وَلَهُم مَّا يَدَّعُونَ ﴿٥٧﴾  
Rumi: Lahum fiihaa faakihatuw wa lahum maa yadda'uun.  
Terjemahan: Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;

**58.** سَلَٰمٞ قَوۡلٗا مِّن رَّبّٖ رَّحِيمٖ ﴿٥٨﴾  
Rumi: Salaamun qaulam mir rabbir rahiim.  
Terjemahan: (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.

**59.** وَٱمۡتَٰزُواْ ٱلۡيَوۡمَ أَيُّهَا ٱلۡمُجۡرِمُونَ ﴿٥٩﴾  
Rumi: Wamtaazul yauma ayyuhal mujrimuun.  
Terjemahan: Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir): “Berpisahlah kamu pada hari ini, hai orang-orang yang berdosa, (dari bercampur gaul dengan orang-orang yang beriman).

**60.** ۞ أَلَمۡ أَعۡهَدۡ إِلَيۡكُمۡ يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعۡبُدُواْ ٱلشَّيۡطَٰنَۖ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ﴿٦٠﴾  
Rumi: Alam a'had ilaikum yaa banii aadama al laa ta'budusy syaithaana innahuu lakum 'aduwwum mubiin.  
Terjemahan: “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

**61.** وَأَنِ ٱعۡبُدُونِيۚ هَٰذَا صِرَٰطٞ مُّسۡتَقِيمٞ ﴿٦١﴾  
Rumi: Wa ani' buduunii haadzaa shiraathum mustaqiim.  
Terjemahan: “Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.

**62.** وَلَقَدۡ أَضَلَّ مِنكُمۡ جِبِلّٗا كَثِيرًاۖ أَفَلَمۡ تَكُونُواْ تَعۡقِلُونَ ﴿٦٢﴾  
Rumi: Wa laqad adhalla minkum jibillan katsiiran afalam takuunuu ta'qiluun.  
Terjemahan: “Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?

**63.** هَٰذِهِۦ جَهَنَّمُ ٱلَّتِي كُنتُمۡ تُوعَدُونَ ﴿٦٣﴾  
Rumi: Haadzihii jahannamul latii kuntum tuu'aduun.  
Terjemahan: “Yang kamu saksikan sekarang ialah neraka Jahannam, yang kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taatkan perintah Allah).

**64.** ٱصۡلَوۡهَا ٱلۡيَوۡمَ بِمَا كُنتُمۡ تَكۡفُرُونَ ﴿٦٤﴾  
Rumi: Ishlauhal yauma bimaa kuntum takfuruun.  
Terjemahan: “Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan!”

**65.** ٱلۡيَوۡمَ نَخۡتِمُ عَلَىٰٓ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَتُكَلِّمُنَآ أَيۡدِيهِمۡ وَتَشۡهَدُ أَرۡجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ﴿٦٥﴾  
Rumi: Al yauma nakhtimu 'alaa afwaahihim wa tukallimunaa aidiihim wa tasyhadu arjuluhum bimaa kaanuu yaksibuun.  
Terjemahan: Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

**66.** وَلَوۡ نَشَآءُ لَطَمَسۡنَا عَلَىٰٓ أَعۡيُنِهِمۡ فَٱسۡتَبَقُواْ ٱلصِّرَٰطَ فَأَنَّىٰ يُبۡصِرُونَ ﴿٦٦﴾  
Rumi: Wa lau nasyaa'u lathamasnaa 'alaa a'yunihim fastabaqush shiraatha fa annaa yubshiruun.  
Terjemahan: (Matahati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya?

**67.** وَلَوۡ نَشَآءُ لَمَسَخۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ مَكَانَتِهِمۡ فَمَا ٱسۡتَطَٰعُواْ مُضِيّٗا وَلَا يَرۡجِعُونَ ﴿٦٧﴾  
Rumi: Wa lau nasyaa'u lamasakhnaahum 'alaa makaanatihim famas tathaa'uu mudhiyyaw wa laa yarji'uun.  
Terjemahan: (Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau kami kehendaki, kami berkuasa mangubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang.

**68.** وَمَن نُّعَمِّرۡهُ نُنَكِّسۡهُ فِي ٱلۡخَلۡقِۚ أَفَلَا يَعۡقِلُونَ ﴿٦٨﴾  
Rumi: Wa man nu'ammirhu nunakkishu fil khalqi afalaa ya'qiluun.  
Terjemahan: Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?

**69.** وَمَا عَلَّمۡنَٰهُ ٱلشِّعۡرَ وَمَا يَنۢبَغِي لَهُۥٓۚ إِنۡ هُوَ إِلَّا ذِكۡرٞ وَقُرۡءَانٞ مُّبِينٞ ﴿٦٩﴾  
Rumi: Wa maa 'allamnaahusy syi'ra wa maa yambaghii lahuu in huwa illaa dzikruw wa qur'aanum mubiin.  
Terjemahan: (Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan;

**70.** لِّيُنذِرَ مَن كَانَ حَيّٗا وَيَحِقَّ ٱلۡقَوۡلُ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ ﴿٧٠﴾  
Rumi: Liyundzira man kaana hayyaw wa yahiqqal qaulu 'alal kaafiriin.  
Terjemahan: Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.

**71.** أَوَلَمۡ يَرَوۡاْ أَنَّا خَلَقۡنَا لَهُم مِّمَّا عَمِلَتۡ أَيۡدِينَآ أَنۡعَٰمٗا فَهُمۡ لَهَا مَٰلِكُونَ ﴿٧١﴾  
Rumi: Awalam yarau annaa khalaqnaa lahum mimmaa 'amilat aidiinaa an'aaman fahum lahaa maalikuun.  
Terjemahan: Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?

**72.** وَذَلَّلۡنَٰهَا لَهُمۡ فَمِنۡهَا رَكُوبُهُمۡ وَمِنۡهَا يَأۡكُلُونَ ﴿٧٢﴾  
Rumi: Wa dzallalnaahaa lahum faminhaa rakuubuhum wa minhaa ya'kuluun.  
Terjemahan: Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan.

**73.** وَلَهُمۡ فِيهَا مَنَٰفِعُ وَمَشَارِبُۚ أَفَلَا يَشۡكُرُونَ ﴿٧٣﴾  
Rumi: Wa lahum fiihaa manaafi'u wa masyaaribu afalaa yasykuruun.  
Terjemahan: Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?

**74.** وَٱتَّخَذُواْ مِن دُونِ ٱللَّهِ ءَالِهَةٗ لَّعَلَّهُمۡ يُنصَرُونَ ﴿٧٤﴾  
Rumi: Wattakhadzuu min duunillaahi aalihatal la'allahum yunsharuun.  
Terjemahan: Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah, (dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (dari makhluk-makhluk itu).

**75.** لَا يَسۡتَطِيعُونَ نَصۡرَهُمۡ وَهُمۡ لَهُمۡ جُندٞ مُّحۡضَرُونَ ﴿٧٥﴾  
Rumi: Laa yastathii'uuna nashrahum wa hum lahum jundum muhdharuun.  
Terjemahan: Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka.

**76.** فَلَا يَحۡزُنكَ قَوۡلُهُمۡۘ إِنَّا نَعۡلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعۡلِنُونَ ﴿٧٦﴾  
Rumi: Falaa yahzunka qauluhum, innaa na'lamu maa yusirruuna wa maa yu'linuun.  
Terjemahan: Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan tuduhan-tuduhan mereka (terhadapmu). Sesungguhnya Kami sedia mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan.

**77.** أَوَلَمۡ يَرَ ٱلۡإِنسَٰنُ أَنَّا خَلَقۡنَٰهُ مِن نُّطۡفَةٖ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٞ مُّبِينٞ ﴿٧٧﴾  
Rumi: Awalam yaral insaanu annaa khalaqnaahu min nuthfatin fa idzaa huwa khashiimum mubiin.  
Terjemahan: Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),

**78.** وَضَرَبَ لَنَا مَثَلٗا وَنَسِيَ خَلۡقَهُۥۖ قَالَ مَن يُحۡيِ ٱلۡعِظَٰمَ وَهِيَ رَمِيمٞ ﴿٧٨﴾  
Rumi: Wa dharaba lanaa matsalaw wa nasiya khalqahuu qaala may yuhyil 'izhaama wa hiya ramiim.  
Terjemahan: Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

**79.** قُلۡ يُحۡيِيهَا ٱلَّذِيٓ أَنشَأَهَآ أَوَّلَ مَرَّةٖۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلۡقٍ عَلِيمٌ ﴿٧٩﴾  
Rumi: Qul yuhyiihal ladzii ansya'ahaa awwala marratiw wa huwa bikulli khalqin 'aliim.  
Terjemahan: Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);

**80.** ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُم مِّنَ ٱلشَّجَرِ ٱلۡأَخۡضَرِ نَارٗا فَإِذَآ أَنتُم مِّنۡهُ تُوقِدُونَ ﴿٨٠﴾  
Rumi: Alladzii ja'ala lakum minasy syajaril akhdhari naaran fa idzaa antum minhu tuuqiduun.  
Terjemahan: “Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu”.

**81.** أَوَلَيۡسَ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ بِقَٰدِرٍ عَلَىٰٓ أَن يَخۡلُقَ مِثۡلَهُمۚ بَلَىٰ وَهُوَ ٱلۡخَلَّٰقُ ٱلۡعَلِيمُ ﴿٨١﴾  
Rumi: Awalaisal ladzii khalaqas samaawaati wal ardha biqaadirin 'alaa ay yakhluqa mitslahum balaa wa huwal khallaaqul 'aliim.  
Terjemahan: Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.

**82.** إِنَّمَآ أَمۡرُهُۥٓ إِذَآ أَرَادَ شَيۡـًٔا أَن يَقُولَ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ ﴿٨٢﴾  
Rumi: Innamaa amruhuu idzaa araada syai'an ay yaquula lahuu kun fayakuun.  
Terjemahan: Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: “Jadilah engkau!”. Maka ia terus menjadi.

**83.** فَسُبۡحَٰنَ ٱلَّذِي بِيَدِهِۦ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيۡءٖ وَإِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ ﴿٨٣﴾  
Rumi: Fasubhaanal ladzii biyadihii malakuutu kulli syai'iw wa ilaihi turja'uun.  
Terjemahan: Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

## Fakta ringkas

- **Kedudukan dalam mushaf:** 36 daripada 114
- **Bilangan ayat:** 83
- **Diturunkan di:** Makkah
- **Urutan penurunan:** 41
- **Muka surat dalam mushaf Madinah:** 440-445
- **Juzuk:** 22-23: ayat 1-27 dalam juzuk 22, ayat 28-83 dalam juzuk 23

## Kandungan Surah Yasin

Yasin diturunkan di Makkah, pada tahun-tahun ketika kaum Quraisy menolak Nabi Muhammad SAW dan mempersendakan kehidupan selepas mati. Ayat-ayatnya membina satu hujah untuk tiga kebenaran: risalah ini datang daripada Allah, hanya Allah yang berhak disembah, dan orang yang mati akan dibangkitkan lalu dihisab.

- **Ayat 1-12:** Allah bersumpah dengan al-Quran yang penuh hikmah bahawa Nabi termasuk dalam kalangan para rasul, di atas jalan yang lurus. Peringatan hanya memberi manfaat kepada orang yang mengikut peringatan itu dan takut kepada Ar-Rahman walaupun dia tidak melihat-Nya (ayat 11), dan setiap amalan, berserta kesan yang ditinggalkannya, dicatat (ayat 12).
- **Ayat 13-32:** Penduduk sebuah negeri menolak para utusan yang dihantar kepada mereka dan mengancam untuk merejam mereka. Seorang lelaki datang berlari dari hujung bandar itu, menyeru kaumnya supaya mengikut para utusan tersebut (ayat 20-27). Dia dipersilakan masuk ke syurga (kaumnya telah membunuhnya, menurut penjelasan ahli tafsir), dan penduduk negeri itu dibinasakan dengan satu pekikan sahaja.
- **Ayat 33-44:** Tanda-tanda yang dapat dilihat oleh sesiapa sahaja: bumi yang mati dihidupkan dengan bijirin, pohon kurma, anggur dan mata air; segala sesuatu dicipta berpasangan; malam dan siang; matahari yang beredar di landasannya; bulan yang melalui peringkat-peringkatnya; dan bahtera yang dibawa di lautan.
- **Ayat 45-68:** Orang yang berpaling daripada setiap tanda dan bertanya bilakah janji itu akan tiba. Sangkakala ditiup, orang yang mati bangkit dari kubur, ahli syurga disambut dengan ucapan "Salam" daripada Tuhan mereka, dan orang yang berdosa dikunci mulutnya sementara tangan dan kaki mereka menjadi saksi.
- **Ayat 69-83:** Nabi tidak diajar bersyair: ini ialah peringatan dan al-Quran yang jelas. Surah ini berakhir dengan seorang lelaki yang meramas tulang yang reput lalu bertanya siapa yang dapat menghidupkannya, dan jawapannya: Dia yang menciptakannya kali pertama, yang apabila menghendaki sesuatu hanya berfirman "Jadilah", maka jadilah ia.

## Mengapa Yasin digelar jantung al-Quran

Sumber paling terkenal bagi gelaran ini ialah sebuah hadis dalam Jami' al-Tirmizi (no. 2887), diriwayatkan daripada Anas bin Malik, yang menisbahkan kepada Nabi SAW sabda berikut: "Setiap sesuatu ada jantungnya, dan jantung al-Quran ialah Yasin. Sesiapa yang membaca Yasin, Allah mencatatkan baginya pahala membaca al-Quran sepuluh kali."

Riwayat ini tidak sahih. Al-Tirmizi sendiri menyifatkannya sebagai gharib dan menyatakan bahawa salah seorang perawinya, Harun Abu Muhammad, tidak dikenali. Ahmad bin Hanbal menyatakannya palsu (maudhu'), Abu Hatim al-Razi menyatakannya batil dan tidak berasas (dicatat oleh anaknya dalam al-'Ilal karya Ibn Abi Hatim), dan al-Albani juga menilainya palsu.

Lafaz yang sama terdapat dalam riwayat yang lebih panjang daripada Ma'qil bin Yasar dalam Musnad Ahmad (no. 20300), tetapi sanadnya mengandungi seorang lelaki yang tidak dinamakan dan bapanya, dan riwayat ini juga dinilai daif. Oleh itu, pahala sepuluh kali khatam al-Quran tidak boleh dinyatakan sebagai janji yang pasti.

Gelaran ini terus digunakan kerana ulama mendapatinya sesuai. Al-Ghazali menjelaskannya begini: iman hanya sah dengan keyakinan kepada hari kebangkitan, dan Yasin menetapkan hari kebangkitan dengan cara yang paling fasih. Fakhr al-Din al-Razi bersetuju dengan penjelasan ini. "Jantung al-Quran" paling tepat difahami sebagai gelaran yang masyhur bagi surah ini, bukan sabda Nabi yang sabit.

## Bila dan bagaimana umat Islam membaca Surah Yasin

Membaca al-Quran ialah ibadah pada bila-bila masa, dan Yasin antara surah yang paling banyak dihafaz dan diulang baca oleh umat Islam. Beberapa amalan telah berkembang di sekelilingnya. Amalan-amalan ini dilakukan secara meluas dengan niat yang ikhlas, dan ulama telah membincangkan dasarnya:

- **Untuk orang yang nazak.** Ahli keluarga duduk di sisi saudara yang sedang nazak dan membacakan Yasin. Amalan ini bersandarkan riwayat "Bacakanlah Yasin kepada orang yang mati dalam kalangan kamu" (Abu Dawud 3121), yang dinilai daif oleh ramai ahli hadis dan sahih oleh Ibn Hibban. Ramai ulama memahami "orang yang mati" di sini sebagai orang yang sedang menghadapi kematian.
- **Untuk arwah.** Ramai yang membaca Yasin selepas berlaku kematian, di rumah atau di kubur, dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati. Mazhab Hanafi dan Hanbali serta ramai ulama Syafi'i terkemudian berpendapat bahawa pahala itu sampai kepadanya, manakala ulama lain berpendapat bahawa yang sampai kepada si mati ialah doa dan sedekah. Doa untuk si mati selepas bacaan adalah baik menurut semua pandangan.
- **Malam Jumaat.** Di banyak rumah, masjid dan surau, Yasin dibaca pada malam Jumaat. Tiada hadis sahih yang mengaitkan Yasin dengan malam tersebut, jadi ulama melihatnya sebagai adat kebiasaan, bukan sunnah yang mempunyai ganjaran tertentu: ramai yang menggalakkannya sebagai amalan membaca al-Quran yang tetap, manakala sebahagian ulama tidak menggalakkan penetapan waktu yang tidak ditetapkan oleh nas.
- **Bacaan beramai-ramai.** Keluarga dan sahabat berkumpul untuk membaca Yasin bersama selepas berlaku kematian atau untuk mendapatkan keberkatan, selalunya dalam majlis tahlil. Orang yang berkumpul untuk membaca dan mempelajari al-Quran bersama dipuji dalam hadis sahih (Sahih Muslim 2699); ulama yang mengkritik majlis seperti ini membantah sikap menganggap hari-hari tertentu sebagai wajib atau mengharapkan ganjaran yang tidak dijanjikan oleh nas.

## Cara membaca Surah Yasin dengan bantuan rumi

Bacaan rumi di bawah setiap ayat membantu anda yang belum lancar membaca huruf Arab supaya tetap dapat mengikuti bacaan. Ejaannya mengikut beberapa kaedah mudah:

- **Vokal berganda (aa, ii, uu)** menandakan bacaan panjang. Contohnya aa dalam qur'aanil (ayat 2) dibaca dua harakat, kira-kira dua kali panjang vokal biasa.
- **Tanda '** menandakan huruf 'ain atau hamzah, contohnya hamzah dalam qur'aanil dan 'ain dalam 'Alaa (ayat 4). Kedua-dua huruf ini mempunyai makhraj tersendiri yang tiada padanannya dalam huruf rumi, jadi dengar baik-baik bagaimana qari menyebutnya.
- **Konsonan berganda**, seperti nn dalam Innaka (ayat 3), menandakan sabdu (tasydid): hurufnya ditekan, dan nun serta mim bersabdu dibaca dengan dengung.
- **Huruf yang sama di hujung dan di awal perkataan**, seperti shiraathim mustaqiim (ayat 4), menandakan dua bunyi yang bercantum menjadi satu bunyi bersabdu (idgham), jadi kedua-dua perkataan itu dibaca bersambung.
- **Dengar sambil membaca.** Mainkan satu ayat, ikuti baris yang diserlahkan, kemudian ulang sendiri. Qari yang membaca dengan perlahan seperti al-Husary lebih mudah diikuti ketika baru bermula.

Bacaan rumi hanyalah alat bantu. Ada bunyi yang tidak dapat diwakilinya dengan tepat: ح dan ه sama-sama ditulis h, manakala sh (ص), th (ط) dan dh (ض) ialah huruf tebal yang bunyinya perlu didengar sendiri. Panjang bacaan mengikut hukum tajwid, seperti mad yang dibaca lebih daripada dua harakat, juga tidak kelihatan dalam tulisan rumi. Oleh itu, dengarlah bacaan qari sambil mengikuti teks, dan pelajarilah makhraj serta tajwid secara langsung daripada guru al-Quran.

## Soalan lazim tentang Surah Yasin

### Surah Yasin dalam juzuk berapa?

Surah Yasin bermula dalam juzuk 22 dan bersambung ke juzuk 23. Ayat 1-27 terdapat dalam juzuk 22, dan juzuk 23 bermula pada ayat 28.

### Berapakah bilangan ayat Surah Yasin?

Surah Yasin mempunyai 83 ayat, yang dibahagikan kepada 5 ruku'. Tiada ayat sajdah dalam surah ini.

### Berapa lama masa untuk membaca Surah Yasin?

Bersama qari yang terkenal, bacaannya mengambil masa kira-kira 13 hingga 24 minit: sekitar 13 minit bersama al-Ghamdi atau as-Sudais, kira-kira 17 minit bersama Mishary Alafasy dan kira-kira 24 minit bersama al-Husary. Masa bacaan anda sendiri bergantung pada rentak dan kelancaran anda.

### Berapa muka surat Surah Yasin?

Kira-kira lima setengah muka surat dalam mushaf Madinah 15 baris yang biasa digunakan, iaitu dari muka surat 440 hingga 445. Mushaf yang dicetak dengan susun atur lain mempunyai bilangan muka surat yang berbeza.

### Bolehkah saya membaca Surah Yasin dalam bahasa Melayu?

Boleh. Membaca terjemahan Melayu membantu anda memahami apa yang anda baca, dan ramai yang membacanya bersama teks Arab. Terjemahan menyampaikan makna tetapi bukan al-Quran itu sendiri, jadi bacaan al-Quran, termasuk dalam solat, dilakukan dalam bahasa Arab; bacaan rumi membantu sebutan anda sementara anda belajar huruf Arab.

### Mengapa Surah Yasin digelar jantung al-Quran?

Kerana sebuah hadis dalam al-Tirmizi (no. 2887) yang menyebut bahawa jantung al-Quran ialah Yasin. Al-Tirmizi menyifatkannya gharib dengan seorang perawi yang tidak dikenali, dan Ahmad bin Hanbal serta al-Albani menilainya palsu, jadi gelaran ini ialah sifat yang masyhur, bukan sabda Nabi yang sabit.

### Adakah Surah Yasin dibaca untuk orang yang meninggal dunia?

Membaca Yasin untuk orang yang nazak dan yang telah meninggal dunia ialah amalan yang telah lama bertapak. Amalan ini bersandarkan riwayat "Bacakanlah Yasin kepada orang yang mati dalam kalangan kamu" (Abu Dawud 3121), yang dinilai daif oleh ramai ahli hadis dan sahih oleh Ibn Hibban; ramai ulama memahaminya sebagai merujuk kepada orang yang sedang menghadapi kematian.

### Apakah maksud Ya Sin?

Ya dan Sin ialah dua daripada huruf muqatta'ah yang membuka sebahagian surah. Sebahagian ulama terdahulu, termasuk Ibn Abbas dalam satu riwayat, berkata maksudnya "wahai manusia", sebahagian lagi berkata ia ialah seruan kepada Nabi, manakala ramai ulama berkata hanya Allah yang mengetahui maksudnya yang sebenar.

### Adakah Surah Yasin Makkiyyah atau Madaniyyah?

Surah Yasin ialah surah Makkiyyah yang diturunkan di Makkah, dan berada pada urutan ke-41 dalam tertib penurunan. Satu riwayat dalam al-Tirmizi mengaitkan ayat 12 dengan Bani Salimah di Madinah, tetapi kebanyakan ulama menganggap keseluruhan surah ini Makkiyyah.

## Aplikasi Surah Yasin

Baca Yasin dan seluruh al-Quran dengan terjemahan dalam 11 bahasa, dengar ayat demi ayat daripada sembilan qari dan simpan penanda bacaan di telefon anda.

[App Store](https://apps.apple.com/my/app/id6443493408) [Google Play](https://play.google.com/store/apps/details?id=tr.gen.suresi.yasin&hl=ms)

## Bacaan seterusnya

- [**Kelebihan Surah Yasin** Apa kata hadis, dan sejauh mana kesahihannya.](https://yasinsurah.com/ms/kelebihan/)
- [**114 surah al-Quran** Arab, rumi dan terjemahan bagi setiap surah.](https://yasinsurah.com/ms/surah/)
- [**Juzuk 1-30** Baca al-Quran juzuk demi juzuk.](https://yasinsurah.com/ms/juzuk/)
- [**Himpunan doa** Doa daripada al-Quran dan Sunnah beserta sumbernya.](https://yasinsurah.com/ms/doa/)
- [**Asmaul Husna** 99 nama Allah beserta maksudnya.](https://yasinsurah.com/ms/asmaul-husna/)
