# Surah Az-Zariyat الذاريات

> Surah Az-Zariyat (Angin yang Menerbangkan) dalam tulisan Arab dan rumi beserta terjemahan Melayu ayat demi ayat, dengan audio bacaan 9 qari. Surah…

Sumber: https://yasinsurah.com/ms/surah-az-zariyat/  
Kemas kini terakhir: 2026-11-16T00:38:32+03:00

Surah ke-51 daripada 114 · Juzuk 26-27

60 ayat · Makkiyyah · urutan penurunan ke-ke-67

Surah al-Zariyat diturunkan di Makkah dan mempunyai 60 ayat. Surah ini menerangkan kepastian akhirat dan perhitungan, sifat orang bertakwa serta bahawa tujuan penciptaan manusia ialah beribadah kepada Allah.

## Surah Az-Zariyat dalam tulisan Arab dan rumi, dengan terjemahan Melayu

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ  
Bismillaahir rahmaanir rahiim  
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

**1.** وَٱلذَّٰرِيَٰتِ ذَرۡوٗا ﴿١﴾  
Rumi: Wadz dzaariyaati dzarwaa.  
Terjemahan: Demi angin yang menerbang dan menaburkan (debu, biji-bijian benih, dan lain-lainnya), dengan penerbangan dan penaburan yang sesungguh-sungguhnya, -

**2.** فَٱلۡحَٰمِلَٰتِ وِقۡرٗا ﴿٢﴾  
Rumi: Fal haamilaati wiqraa.  
Terjemahan: Dan awan yang membawa dan mengangkut muatannya (ke tempat yang dikehendaki), -

**3.** فَٱلۡجَٰرِيَٰتِ يُسۡرٗا ﴿٣﴾  
Rumi: Fal jaariyaati yusraa.  
Terjemahan: Dan kapal-kapal yang belayar laju dengan kemudahan yang diberikan kepadanya, -

**4.** فَٱلۡمُقَسِّمَٰتِ أَمۡرًا ﴿٤﴾  
Rumi: Fal muqassimaati amraa.  
Terjemahan: Dan malaikat-malaikat yang membahagi-bahagikan segala perkara yang mereka ditugaskan membahagikannya;

**5.** إِنَّمَا تُوعَدُونَ لَصَادِقٞ ﴿٥﴾  
Rumi: Innamaa tuu'aduuna lashaadiq.  
Terjemahan: (Sumpah demi sumpah) bahawa sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada kamu (mengenai hari akhirat) tetap benar;

**6.** وَإِنَّ ٱلدِّينَ لَوَٰقِعٞ ﴿٦﴾  
Rumi: Wa innad diina lawaaqi'.  
Terjemahan: Dan bahawa sesungguhnya balasan amal, tetap berlaku.

**7.** وَٱلسَّمَآءِ ذَاتِ ٱلۡحُبُكِ ﴿٧﴾  
Rumi: Was samaa'i dzaatil hubuk.  
Terjemahan: Demi langit yang mempunyai jalan-jalan yang berbagai bentuk keadaannya,

**8.** إِنَّكُمۡ لَفِي قَوۡلٖ مُّخۡتَلِفٖ ﴿٨﴾  
Rumi: Innakum lafii qaulim mukhtalif.  
Terjemahan: Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan berlainan pendapat (mengenai ugama yang dibawa oleh Nabi Muhammad, s.a.w).

**9.** يُؤۡفَكُ عَنۡهُ مَنۡ أُفِكَ ﴿٩﴾  
Rumi: Yu'faku 'anhu man ufik.  
Terjemahan: Dipalingkan daripada (perselisihan) itu orang-orang yang telah dipalingkan Allah (dengan sebab keikhlasannya mencari kebenaran).

**10.** قُتِلَ ٱلۡخَرَّٰصُونَ ﴿١٠﴾  
Rumi: Qutilal kharraashuun.  
Terjemahan: Binasalah orang-orang yang sentiasa mengeluarkan pendapat dengan cara agak-agak sahaja,

**11.** ٱلَّذِينَ هُمۡ فِي غَمۡرَةٖ سَاهُونَ ﴿١١﴾  
Rumi: Alladziina hum fii ghamratin saahuun.  
Terjemahan: (Iaitu) orang-orang yang tenggelam dalam kejahilan, serta lalaikan (hari pembalasan).

**12.** يَسۡـَٔلُونَ أَيَّانَ يَوۡمُ ٱلدِّينِ ﴿١٢﴾  
Rumi: Yas'aluuna ayyaana yaumud diin.  
Terjemahan: Mereka bertanya (secara mengejek): “Bilakah datangnya hari pembalasan itu?”

**13.** يَوۡمَ هُمۡ عَلَى ٱلنَّارِ يُفۡتَنُونَ ﴿١٣﴾  
Rumi: Yauma hum 'alan naari yuftanuun.  
Terjemahan: (Jawabnya: hari itu ialah) hari mereka diseksa (dengan dibakar) atas api neraka, -

**14.** ذُوقُواْ فِتۡنَتَكُمۡ هَٰذَا ٱلَّذِي كُنتُم بِهِۦ تَسۡتَعۡجِلُونَ ﴿١٤﴾  
Rumi: Dzuuquu fitnatakum haadzal ladzii kuntum bihii tasta'jiluun.  
Terjemahan: (Sambil dikatakan kepada mereka): “Rasalah azab seksa yang disediakan untuk kamu; inilah dia yang dahulu kamu minta disegerakan kedatangannya”.

**15.** إِنَّ ٱلۡمُتَّقِينَ فِي جَنَّٰتٖ وَعُيُونٍ ﴿١٥﴾  
Rumi: Innal muttaqiina fii jannaatiw wa 'uyuun.  
Terjemahan: Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya.

**16.** ءَاخِذِينَ مَآ ءَاتَىٰهُمۡ رَبُّهُمۡۚ إِنَّهُمۡ كَانُواْ قَبۡلَ ذَٰلِكَ مُحۡسِنِينَ ﴿١٦﴾  
Rumi: Aakhidziina maa aataahum rabbuhum innahum kaanuu qabla dzaalika muhsiniin.  
Terjemahan: (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

**17.** كَانُواْ قَلِيلٗا مِّنَ ٱلَّيۡلِ مَا يَهۡجَعُونَ ﴿١٧﴾  
Rumi: Kaanuu qaliilam minal laili maa yahja'uun.  
Terjemahan: Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.

**18.** وَبِٱلۡأَسۡحَارِ هُمۡ يَسۡتَغۡفِرُونَ ﴿١٨﴾  
Rumi: Wa bil ashaari hum yastaghfiruun.  
Terjemahan: Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).

**19.** وَفِيٓ أَمۡوَٰلِهِمۡ حَقّٞ لِّلسَّآئِلِ وَٱلۡمَحۡرُومِ ﴿١٩﴾  
Rumi: Wa fii amwaalihim haqqul lis saa'ili wal mahruum.  
Terjemahan: Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).

**20.** وَفِي ٱلۡأَرۡضِ ءَايَٰتٞ لِّلۡمُوقِنِينَ ﴿٢٠﴾  
Rumi: Wa fil ardhi aayaatul lil muuqiniin.  
Terjemahan: Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin,

**21.** وَفِيٓ أَنفُسِكُمۡۚ أَفَلَا تُبۡصِرُونَ ﴿٢١﴾  
Rumi: Wa fii anfusikum afalaa tubshiruun.  
Terjemahan: Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?

**22.** وَفِي ٱلسَّمَآءِ رِزۡقُكُمۡ وَمَا تُوعَدُونَ ﴿٢٢﴾  
Rumi: Wa fis samaa'i rizqukum wa maa tuu'aduun.  
Terjemahan: Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.

**23.** فَوَرَبِّ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ إِنَّهُۥ لَحَقّٞ مِّثۡلَ مَآ أَنَّكُمۡ تَنطِقُونَ ﴿٢٣﴾  
Rumi: Fawarabbis samaa'i wal ardhi innahuu lahaqqum mitsla maa annakum tanthiquun.  
Terjemahan: Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya (apa yang tersebut) itu tetap benar, (tidak patut diragu-ragukan) sebagaimana (tidak sepatutnya diragukan) benarnya kamu dapat berkata-kata.

**24.** هَلۡ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ضَيۡفِ إِبۡرَٰهِيمَ ٱلۡمُكۡرَمِينَ ﴿٢٤﴾  
Rumi: Hal ataaka hadiitsu dhaifi ibraahiimal mukramiin.  
Terjemahan: Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan?

**25.** إِذۡ دَخَلُواْ عَلَيۡهِ فَقَالُواْ سَلَٰمٗاۖ قَالَ سَلَٰمٞ قَوۡمٞ مُّنكَرُونَ ﴿٢٥﴾  
Rumi: Idz dakhaluu 'alaihi faqaaluu salaaman qaala salaamun qaumum munkaruun.  
Terjemahan: Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal.

**26.** فَرَاغَ إِلَىٰٓ أَهۡلِهِۦ فَجَآءَ بِعِجۡلٖ سَمِينٖ ﴿٢٦﴾  
Rumi: Faraagha ilaa ahlihii fajaa'a bi'ijlin samiin.  
Terjemahan: Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang).

**27.** فَقَرَّبَهُۥٓ إِلَيۡهِمۡ قَالَ أَلَا تَأۡكُلُونَ ﴿٢٧﴾  
Rumi: Faqarrabahuu ilaihim qaala alaa ta'kuluun.  
Terjemahan: Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”.

**28.** فَأَوۡجَسَ مِنۡهُمۡ خِيفَةٗۖ قَالُواْ لَا تَخَفۡۖ وَبَشَّرُوهُ بِغُلَٰمٍ عَلِيمٖ ﴿٢٨﴾  
Rumi: Fa aujasa minhum khiifatan qaaluu laa takhaf wa basysyaruuhu bighulaamin 'aliim.  
Terjemahan: (Setelah dilihatnya mereka mereka tidak menjamah makanan itu), maka ia merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya), mereka berkata: “Janganlah engkau takut (wahai Ibrahim)”. Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan.

**29.** فَأَقۡبَلَتِ ٱمۡرَأَتُهُۥ فِي صَرَّةٖ فَصَكَّتۡ وَجۡهَهَا وَقَالَتۡ عَجُوزٌ عَقِيمٞ ﴿٢٩﴾  
Rumi: Fa aqbalatim ra'atuhuu fii sharratin fashakkat wajhahaa wa qaalat 'ajuuzun 'aqiim.  
Terjemahan: (Mendengarkan berita yang mengembirakan itu), maka datanglah isterinya sambil menjerit (kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: “Aku sudah tua, lagi mandul, (bagaimana aku boleh mendapat anak)?”

**30.** قَالُواْ كَذَٰلِكِ قَالَ رَبُّكِۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡحَكِيمُ ٱلۡعَلِيمُ ﴿٣٠﴾  
Rumi: Qaaluu kadzaaliki qaala rabbuki innahuu huwal hakiimul 'aliim.  
Terjemahan: Mereka berkata: “Demikianlah Tuhanmu berfirman, (kami hanya menyampaikan sahaja); Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui”.

**31.** ۞ قَالَ فَمَا خَطۡبُكُمۡ أَيُّهَا ٱلۡمُرۡسَلُونَ ﴿٣١﴾  
Rumi: Qaala famaa khathbukum ayyuhal mursaluun.  
Terjemahan: Nabi Ibrahim bertanya: “(Selain dari itu) apa lagi tugas penting kamu wahai utusan Tuhan?”

**32.** قَالُوٓاْ إِنَّآ أُرۡسِلۡنَآ إِلَىٰ قَوۡمٖ مُّجۡرِمِينَ ﴿٣٢﴾  
Rumi: Qaaluu innaa ursilnaa ilaa qaumim mujrimiin.  
Terjemahan: Mereka menjawab: “Sesungguhnya Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa (untuk membinasakan mereka);

**33.** لِنُرۡسِلَ عَلَيۡهِمۡ حِجَارَةٗ مِّن طِينٖ ﴿٣٣﴾  
Rumi: Linursila 'alaihim hijaaratam min thiin.  
Terjemahan: “Supaya Kami menimpakan mereka dengan batu-batu dari tanah (yang dibakar),

**34.** مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ لِلۡمُسۡرِفِينَ ﴿٣٤﴾  
Rumi: Musawwamatan 'inda rabbika lil musrifiin.  
Terjemahan: “Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu, untuk membinasakan orang-orang yang melampaui batas (dalam keingkarannya)”.

**35.** فَأَخۡرَجۡنَا مَن كَانَ فِيهَا مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ﴿٣٥﴾  
Rumi: Fa akhrajnaa man kaana fiihaa minal mu'miniin.  
Terjemahan: (Setelah sampai utusan Kami ke tempat itu), Kami (perintahkan mereka) mengeluarkan orang-orang yang beriman yang tinggal di situ.

**36.** فَمَا وَجَدۡنَا فِيهَا غَيۡرَ بَيۡتٖ مِّنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ ﴿٣٦﴾  
Rumi: Famaa wajadnaa fiihaa ghaira baitim minal muslimiin.  
Terjemahan: (Sesudah dipereksa) maka (utusan) Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada Nabi Lut).

**37.** وَتَرَكۡنَا فِيهَآ ءَايَةٗ لِّلَّذِينَ يَخَافُونَ ٱلۡعَذَابَ ٱلۡأَلِيمَ ﴿٣٧﴾  
Rumi: Wa taraknaa fiihaa aayatal lil ladziina yakhaafuunal 'adzaabal aliim.  
Terjemahan: Dan Kami tinggalkan di negeri itu (timbunan batu-batu yang telah menghujani dan membinasakan mereka), sebagai tanda (yang mendatangkan keinsafan) bagi orang-orang yang sedia takut kepada azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

**38.** وَفِي مُوسَىٰٓ إِذۡ أَرۡسَلۡنَٰهُ إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ بِسُلۡطَٰنٖ مُّبِينٖ ﴿٣٨﴾  
Rumi: Wa fii muusaa idz arsalnaahu ilaa fir'auna bisulthaanim mubiin.  
Terjemahan: Dan juga pada (kisah) Nabi Musa (terdapat dalil-dalil yang memberi keinsafan), - ketika kami mengutusnya kepada Firaun dengan membawa mukjizat yang nyata.

**39.** فَتَوَلَّىٰ بِرُكۡنِهِۦ وَقَالَ سَٰحِرٌ أَوۡ مَجۡنُونٞ ﴿٣٩﴾  
Rumi: Fatawallaa biruknihii wa qaala saahirun au majnuun.  
Terjemahan: Maka Firaun berpaling ingkar dengan berdasarkan kekuasaannya sambil berkata: “(Musa itu) adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila!”

**40.** فَأَخَذۡنَٰهُ وَجُنُودَهُۥ فَنَبَذۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡيَمِّ وَهُوَ مُلِيمٞ ﴿٤٠﴾  
Rumi: Fa akhadznaahu wa junuudahuu fanabadznaahum fil yammi wa huwa muliim.  
Terjemahan: Lalu Kami (adakan jalan) mengambil Firaun bersama-sama tenteranya, kemudian Kami humbankan mereka ke dalam laut, sedang ia berkeadaan tercela.

**41.** وَفِي عَادٍ إِذۡ أَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمُ ٱلرِّيحَ ٱلۡعَقِيمَ ﴿٤١﴾  
Rumi: Wa fii 'aadin idz arsalnaa 'alaihimur riihal 'aqiim.  
Terjemahan: Dan juga pada (kisah) kaum Aad (terdapat perkara-perkara yang menjadi iktibar), - ketika kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang tidak mengandungi sebarang kebaikan; -

**42.** مَا تَذَرُ مِن شَيۡءٍ أَتَتۡ عَلَيۡهِ إِلَّا جَعَلَتۡهُ كَٱلرَّمِيمِ ﴿٤٢﴾  
Rumi: Maa tadzaru min syai'in atat 'alaihi illaa ja'alathu kar ramiim.  
Terjemahan: Angin itu tidak meninggalkan sesuatupun yang dirempuhnya, melainkan menjadikannya (hancur) seperti debu.

**43.** وَفِي ثَمُودَ إِذۡ قِيلَ لَهُمۡ تَمَتَّعُواْ حَتَّىٰ حِينٖ ﴿٤٣﴾  
Rumi: Wa fii tsamuuda idz qiila lahum tamatta'uu hattaa hiin.  
Terjemahan: Dan juga pada (kisah) kaum Thamud (terdapat perkara-perkara yang menjadi pelajaran) - ketika dikatakan kepada mereka: “Bersenang-senanglah kamu hingga ke suatu waktu (yang termaklum)!”

**44.** فَعَتَوۡاْ عَنۡ أَمۡرِ رَبِّهِمۡ فَأَخَذَتۡهُمُ ٱلصَّٰعِقَةُ وَهُمۡ يَنظُرُونَ ﴿٤٤﴾  
Rumi: Fa'atau 'an amri rabbihim fa akhadzathumush shaa'iqatu wa hum yanzhuruun.  
Terjemahan: Maka mereka membesarkan diri terhadap perintah Tuhannya, lalu mereka disambar petir (dengan tidak dapat melarikan diri), sedang mereka melihatnya.

**45.** فَمَا ٱسۡتَطَٰعُواْ مِن قِيَامٖ وَمَا كَانُواْ مُنتَصِرِينَ ﴿٤٥﴾  
Rumi: Famas tathaa'uu min qiyaamiw wa maa kaanuu muntashiriin.  
Terjemahan: Dengan yang demikian, mereka tidak dapat bangun lagi, dan mereka juga tidak mendapat pertolongan.

**46.** وَقَوۡمَ نُوحٖ مِّن قَبۡلُۖ إِنَّهُمۡ كَانُواْ قَوۡمٗا فَٰسِقِينَ ﴿٤٦﴾  
Rumi: Wa qauma nuuhim min qablu innahum kaanuu qauman faasiqiin.  
Terjemahan: Dan kaum Nuh (Kami juga telah binasakan) sebelum itu; sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik - derhaka.

**47.** وَٱلسَّمَآءَ بَنَيۡنَٰهَا بِأَيۡيْدٖ وَإِنَّا لَمُوسِعُونَ ﴿٤٧﴾  
Rumi: Was samaa'a banainaahaa bi'aidiw wa innaa lamuusi'uun.  
Terjemahan: Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi). Dan sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga.

**48.** وَٱلۡأَرۡضَ فَرَشۡنَٰهَا فَنِعۡمَ ٱلۡمَٰهِدُونَ ﴿٤٨﴾  
Rumi: Wal ardha farasynaahaa fani'mal maahiduun.  
Terjemahan: Dan bumi pula Kami hamparkan (untuk kemudahan kamu mendiaminya); maka Kamilah sebaik-baik yang menghamparkannya.

**49.** وَمِن كُلِّ شَيۡءٍ خَلَقۡنَا زَوۡجَيۡنِ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ ﴿٤٩﴾  
Rumi: Wa min kulli syai'in khalaqnaa zaujaini la'allakum tadzakkaruun.  
Terjemahan: Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami).

**50.** فَفِرُّوٓاْ إِلَى ٱللَّهِۖ إِنِّي لَكُم مِّنۡهُ نَذِيرٞ مُّبِينٞ ﴿٥٠﴾  
Rumi: Fafirruu ilallaahi innii lakum minhu nadziirum mubiin.  
Terjemahan: (Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): “Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.

**51.** وَلَا تَجۡعَلُواْ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَۖ إِنِّي لَكُم مِّنۡهُ نَذِيرٞ مُّبِينٞ ﴿٥١﴾  
Rumi: Wa laa taj'aluu ma'allaahi ilaahan aakhara innii lakum minhu nadziirum mubiin.  
Terjemahan: “Dan janganlah kamu adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam kepercayaan kamu), sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu sebagai pemberi amaran yang nyata”.

**52.** كَذَٰلِكَ مَآ أَتَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِم مِّن رَّسُولٍ إِلَّا قَالُواْ سَاحِرٌ أَوۡ مَجۡنُونٌ ﴿٥٢﴾  
Rumi: Kadzaalika maa atal ladziina min qablihim mir rasuulin illaa qaaluu saahirun au majnuun.  
Terjemahan: Demikianlah (keadaan tiap-tiap kaum terhadap Rasulnya samalah seperti keadaan kaummu wahai Muhammad) - tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada kaum-kaum yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang berkata: “Dia adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila”.

**53.** أَتَوَاصَوۡاْ بِهِۦۚ بَلۡ هُمۡ قَوۡمٞ طَاغُونَ ﴿٥٣﴾  
Rumi: Atawaashau bihii bal hum qaumun thaaghuun.  
Terjemahan: Adakah mereka semua telah berpesan-pesan (dan mencapai kata sepakat) untuk melemparkan tuduhan itu? (Sudah tentu mereka tidak dapat berbuat demikian), bahkan mereka semuanya adalah kaum yang melampaui batas (dalam keingkarannya).

**54.** فَتَوَلَّ عَنۡهُمۡ فَمَآ أَنتَ بِمَلُومٖ ﴿٥٤﴾  
Rumi: Fatawalla 'anhum famaa anta bimaluum.  
Terjemahan: Oleh itu, berpalinglah (wahai Muhammad) daripada mereka (yang menentangmu itu dan janganlah dihiraukan), kerana engkau tidak akan disalahkan (setelah engkau memberi amaran kepada mereka).

**55.** وَذَكِّرۡ فَإِنَّ ٱلذِّكۡرَىٰ تَنفَعُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ﴿٥٥﴾  
Rumi: Wa dzakkir fa innadz dzikraa tanfa'ul mu'miniin.  
Terjemahan: Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.

**56.** وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ﴿٥٦﴾  
Rumi: Wa maa khalaqtul jinna wal insa illaa liya'buduun.  
Terjemahan: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

**57.** مَآ أُرِيدُ مِنۡهُم مِّن رِّزۡقٖ وَمَآ أُرِيدُ أَن يُطۡعِمُونِ ﴿٥٧﴾  
Rumi: Maa uriidu minhum mir rizqiw wa maa uriidu ay yuth'imuun.  
Terjemahan: Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu.

**58.** إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِينُ ﴿٥٨﴾  
Rumi: Innallaaha huwar razzaaqu dzul quwwatil matiin.  
Terjemahan: Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.

**59.** فَإِنَّ لِلَّذِينَ ظَلَمُواْ ذَنُوبٗا مِّثۡلَ ذَنُوبِ أَصۡحَٰبِهِمۡ فَلَا يَسۡتَعۡجِلُونِ ﴿٥٩﴾  
Rumi: Fa inna lil ladziina zhalamuu dzanuubam mitsla dzanuubi ashhaabihim falaa yasta'jiluun.  
Terjemahan: (Setelah ternyata hakikat yang demikian), maka sesungguhnya bagi orang-orang yang zalim (yang menentang ajaran Nabi Muhammad) itu ada bahagiannya (dari azab seksa) seperti bahagian rakan-rakan mereka (kaum kafir yang telah lalu). Oleh itu, janganlah mereka meminta kepadaKu menyegerakan kedatangannya.

**60.** فَوَيۡلٞ لِّلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن يَوۡمِهِمُ ٱلَّذِي يُوعَدُونَ ﴿٦٠﴾  
Rumi: Fawailul lil ladziina kafaruu miy yaumihimul ladzii yuu'aduun.  
Terjemahan: Maka kecelakaan dan kebinasaanlah bagi orang-orang yang kafir pada hari yang telah dijanjikan kepada mereka.

## Fakta ringkas

- **Kedudukan dalam mushaf:** 51 daripada 114
- **Maksud nama:** Angin yang Menerbangkan
- **Bilangan ayat:** 60
- **Diturunkan di:** Makkah
- **Urutan penurunan:** 67
- **Juzuk:** 26-27: ayat 1-30 dalam juzuk 26, ayat 31-60 dalam juzuk 27

## Mengenai Surah Az-Zariyat

Nama surah diambil daripada perkataan "al-zariyat" dalam ayat pertama yang bermaksud "yang menerbangkan dan menyebarkan debu"; menurut kebanyakan ahli tafsir, ini merujuk kepada angin.

Surah ini diturunkan di Makkah dan mempunyai 60 ayat. Surah ini berada pada urutan 51 dalam mushaf; bermula dalam juz 26 dan bersambung dalam juz 27. Menurut susunan penurunan, surah ini yang ke-67. Kisah malaikat yang datang sebagai tetamu Nabi Ibrahim dan ayat 47 yang menyatakan langit dibina dengan kekuasaan serta diperluas terdapat dalam surah ini. Ayat 56 yang menyatakan jin dan manusia diciptakan hanya untuk beribadah kepada Allah ialah ayat surah ini yang paling terkenal.

## Latar belakang penurunan Surah Az-Zariyat

Surah ini diturunkan pada zaman Makkah ketika orang musyrik berkata-kata secara bercanggah tentang akhirat dan perhitungan serta menyifatkan Nabi sebagai ahli sihir atau orang gila. Ayat-ayatnya menyatakan sikap orang kafir ini mengulangi sikap kaum terdahulu terhadap nabi mereka, seolah-olah mereka saling mewasiatkan kata-kata yang sama.

Tiada sebab penurunan khusus surah yang diketahui dan diterima secara meluas dalam sumber-sumber. Menjelang akhir surah, Nabi disuruh berpaling daripada orang kafir tetapi meneruskan nasihat, kerana nasihat bermanfaat bagi orang beriman.

## Kandungan Surah Az-Zariyat

Surah ini bermula dengan sumpah demi angin, awan yang membawa beban, kapal yang belayar dengan mudah dan malaikat yang membahagikan urusan; dinyatakan bahawa yang dijanjikan benar dan perhitungan pasti berlaku. Diterangkan kesudahan mereka yang bercanggah tentang hal ini.

Disenaraikan sifat orang bertakwa: sedikit tidur pada malam hari, memohon keampunan pada waktu sahur, dan dalam harta mereka ada hak bagi yang meminta serta yang miskin. Ditegaskan bahawa di bumi dan dalam diri manusia terdapat tanda bagi mereka yang yakin, dan rezeki ada di langit. Kemudian diceritakan malaikat tetamu Nabi Ibrahim mengkhabarkan seorang anak lelaki kepadanya dan diutus membinasakan kaum Lut. Kesudahan Firaun, 'Ad, Thamud dan kaum Nuh diingatkan secara ringkas. Dinyatakan bahawa langit dibina dengan kekuasaan dan diperluas, serta segala sesuatu diciptakan berpasangan; manusia diseru berlari menuju Allah. Dijelaskan bahawa jin dan manusia diciptakan hanya untuk beribadah kepada Allah, Allah tidak mengharapkan rezeki daripada mereka dan Dialah Pemberi rezeki. Surah berakhir dengan peringatan tentang keadaan orang kafir pada hari yang dijanjikan kepada mereka.

## Kelebihan Surah Az-Zariyat

Tiada riwayat sahih tentang kelebihan surah al-Zariyat yang diketahui. Kata-kata dalam tafsir-tafsir bahawa pembaca surah ini akan diberi sepuluh pahala sebanyak bilangan setiap angin yang bertiup di dunia merupakan sebahagian daripada riwayat panjang yang dinisbahkan kepada Ubai bin Ka'ab; Ibn Hajar menilainya palsu (maudhu').

Dalam riwayat Abu Dawud daripada Abdullah bin Mas'ud diceritakan bahawa Nabi membaca surah-surah yang setara secara berpasangan dalam satu rakaat, dan al-Zariyat disebut bersama al-Thur. Al-Albani menilai pokok hadis ini sahih dan menyatakan bahawa senarai suratnya tidak sabit, manakala Syu'aib al-Arna'ut menilai kuat sanad riwayat lain yang memuatkan senarai itu.

Menurut riwayat yang dikatakan Ibn Kathir sabit melalui banyak jalur, Ali di atas mimbar di Kufah menjelaskan bahawa sumpah-sumpah dalam ayat-ayat pertama surah ini ialah angin, awan, kapal dan para malaikat.

Nota tentang surah ini ditulis untuk aplikasi Yasin Suresi.

## Soalan lazim tentang Surah Az-Zariyat

### Berapakah bilangan ayat Surah Az-Zariyat?

Surah Az-Zariyat mempunyai 60 ayat.

### Apakah maksud Az-Zariyat?

Az-Zariyat bermaksud “Angin yang Menerbangkan”.

### Adakah Surah Az-Zariyat Makkiyyah atau Madaniyyah?

Surah Az-Zariyat ialah surah Makkiyyah yang diturunkan di Makkah. Mengikut urutan penurunan, surah ini ialah surah ke-67.

### Surah Az-Zariyat dalam juzuk berapa?

Surah Az-Zariyat bermula dalam juzuk 26 dan berakhir dalam juzuk 27.

### Surah Az-Zariyat ialah surah ke berapa dalam al-Quran?

Surah Az-Zariyat ialah surah ke-51 dalam al-Quran. Surah ini terletak selepas Surah Qaf dan sebelum Surah At-Tur.

### Bolehkah saya mendengar Surah Az-Zariyat di sini?

Boleh. Pemain audio di bawah ayat-ayat menyediakan bacaan Surah Az-Zariyat oleh 9 qari terkenal; semasa audio dimainkan, ayat yang sedang dibaca ditandakan dalam senarai.

- [Surah sebelumnya 50. Qaf](https://yasinsurah.com/ms/surah-qaf/)
- [Surah seterusnya 52. At-Tur](https://yasinsurah.com/ms/surah-at-tur/)

## Aplikasi Surah Yasin

Baca Yasin dan seluruh al-Quran dengan terjemahan dalam 11 bahasa, dengar ayat demi ayat daripada sembilan qari dan simpan penanda bacaan di telefon anda.

[App Store](https://apps.apple.com/my/app/id6443493408) [Google Play](https://play.google.com/store/apps/details?id=tr.gen.suresi.yasin&hl=ms)
